.
.
Apa yang mampu aku katakan kepada orang sekeliling adalah betapa indahnya perancanganNya untuk hambanya. Kadang kita tidak pernah perasan semuanya. Kadang kita menjadi tidak puas dengan pemberianNya. Apa yang telah ada di depan mata masih tidak cukup, sedangkan ada yang melihat kita dari belakang mengharapkan agar mereka berada di tempat kita. Pasti ada dalam kalangan kita yang pernah dengar “Untunglah kamu.”. Tapi tetap..kita masih juga tidak puas dan masih mengeluh terhadap sesuatu. Cuba kita fikirkan semula, apa sebenarnya yang kita inginkan? Wang? Rumah? Kereta mewah? Cinta? Sanjungan? Sahabat? Atau Keluarga?
Kita semua adalah manusia yang penuh nafsunya dengan dunia padahal semuanya sementara. Dulu, aku punya fikiran yang sama, keinginan yang sama dan mencari sesuatu yang ku anggap tidak pernah habis.
Dulu aku ada sesuatu yang aku anggap segalanya, iaitu Keluarga. Aku menganggap semuanya cukup bagi ku semuanya kerana disitu Allah memberiku nikmat keluarga,sahabat,pendidikan,rezeki dan banyak lagi hingga tidak terhitung. Tiada kebimbangan dalam hati sewaktu itu.
Kemudian, Allah menyampaikan rindunya dengan memberi sakit kepadaku. Tiada keluhan langsung dalam diri. Aku terima semuanya dengan ikhlas. Kemudian, Allah menyembuhkan semula. Dan, dilimpahkan lagi rezeki yang tidak terhitung kiranya sampai lah aku sedar, aku sudah sampai di tahap menara gading yang dikatakan oleh budak sekolah menengah.
Sekali lagi Allah menguji ku dengan menghantar rindunya melalui kesakitan bapa. Hampir lemah aku disudut pembaringan bapa yang lemah pernafasannya. Saat itu, bapa katakan kepada kami, belum sampai masanya. Jangan risau. Waktu itu, tiada daya ku selain berdoa. Dari situ aku mula membuat perhitungan dengan Allah, dengan mengharapkan agar sakit bapa itu diberikan kepada ku. Rela ku menanggungnya. Tiada daya ku melihat bapa yang seharusnya berjalan seperti dulu, duduk seperti dulu dan aku duduk dipangkuannya dengan ciuman yang paling ikhlas aku terima seumur hidup ku. Telah ku katakan kepada Allah bahawa aku tidak bersedia menerima kehilangan bapa.
Perhitungan ku itu telah Allah terima dengan memberi kesakitan yang ku minta itu dan memberi kesembuhan buat bapa untuk tempoh yang lama. Sekali lagi, tiada keluhan buat ku dan aku sentiasa ikhlaskan sakit ini. Untuk tempoh tertentu, aku mulai tenat. Pada masa yang tidak pernah aku sangkakan, aku juga menjadi lemah di pembaringan ku sendiri. Kemudian, Allah memberi kesembuhan kepada ku melalui pembedahan besar dan sangat lama. Jujur, tiada perasaan lain yang dapat digambarkan selain gembira dan bersyukur. Tapi, jauh disudut hati kebimbangan tetap menyelubungi diri. Adakah bapa atau mak turut membuat perhitungan untuk ku?. Diam dan bimbang sentiasa bermain dalam diri. Selepas 4 bulan habis pembedahan, aku dikejutkan dengan khabar berakhirnya peminjaman ku dengan Allah seorang bapa. Telah sampainya hari berakhir perhitungan yang pernah aku lakukan dulu. Dari situ aku mula marah dengan diri sendiri. Telah ku salahkan diri ini kerana wujud dalam dunia. Telah marah aku kerana menjadi beban. Telah ku marah diri ini sehingga menganggap diri ini sial. Telah ku marah diri ini kerana tidak pandai menjaga diri. Telah ku marah diri ini kerana banyak sekali menyusahkan orang. Banyak kali aku katakan dalam diri, kenapa aku tidak mati saja sewaktu pembedahan. Kenapa aku perlu hidup lagi?
Tapi, satu hari, aku mula sedar. Semuanya telah Allah rancangkan dan anugerahkan dengan sebaik-baiknya serta bukti cintaNya yang sangat tinggi buat diri.
“Maka sesungguhnya disetiap masalah pasti disertai jalan keluar.”
“…Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (al-Anfal:46)
Allah telah banyak menghantarkan kepadaku orang-orang yang kukira lebih susah dari ku. (contoh paling nyata : Syria). Berkat kesabaran dan kekuatan yang masih tersisa buat diri ini, telah ku bagi-bagikan untuk insan-insan yang memerlukan. Tiada terlintas dibenak ku, akan ada orang yang hidup bersandarkan pengalaman ku. Terdapat beberapa sahabat dan kenalan yang Allah hantarkan kepada ku untuk ku sama-sama merasai nikmat hidup yang boleh kukatakan hidup untuk kedua kalinya. Bagaimana aku hargai peluang kedua ini dengan bangun dari kelemahan dan ujian yang bertimpa-timpa aku hadapi.
Apa yang hendak ku katakan adalah, hargailah masa-masa anda terutamanya dengan orang-orang yang telah Allah hantarkan kepada kita sebagai ayah, ibu, abang, kakak, adik, kawan, suami/isteri atau anak-anak. Kalau nak diikutkan, banyak benda yang hendak aku ungkapkan tentang banyaknya kita yang masih jauh dari Allah. Sedih menyelubungi diri saat aku memikirkan betapa jauhnya kita dari Allah, terutamanya orang-orang yang kita sayang. Fikirkan sedalam-dalamnya, syurga kah kita setelah semuanya? Jujurkah kita dalam beriman? Kenapa susah, telah hilangkah hidayah Allah? Sekiranya engkau takut memikirkan semua itu, maka bersyukurlah. Kerana itu adalah nikmat Allah, kerana aku juga merasakan hal yang sama. Selamat bersyukur atas nikmat Allah.
.
Alhamdulillah, pada 08/11/2017, keluarga Ahang telah menyambut hari konvokesyen Aisyah di Universiti Malaysia Sarawak, dimana saya juga telah melaksanakan amanat arwah bapa dengan jayanya. Semoga bapa ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan tinggi darjatnya. (al-Fatihah)



No comments:
Post a Comment